Wajib belajar ilmu tauhid

Ilmu tauhid adalah ilmu yang penting… sangat penting… malah yang terpenting! Gagal ilmu tauhid bererti gagallah yang lain-lain. Tapi dalam dunia hari ini, pelajaran ilmu tauhid semakin terpinggir. Sebahagian besar para pendakwah sendiri mengabaikan ilmu ini dengan hanya mengambil yang asas sahaja. Mereka rasakan ‘yang asas’ itu sudah mencukupi lalu mereka tumpukan usaha mereka kepada gerak kerja dakwah. Apabila kita mendengar percakapan mereka ataupun kita membaca tulisan-tulisan mereka, barulah kita sedar yang mereka bermasalah dalam tauhid. Malangnya…. mereka sendiri tidak sedar yang tauhid mereka bermasalah. Kalau tauhid para pendakwah sendiri banyak yang bermasalah, kita yang orang awam ini bagaimana?
Tentulah lebih banyak masalahnya!
Sebab itulah para ulama terdahulu sangat menekankan ilmu tauhid. Kata mereka, “Awaluddin maghrifatullah”- Awal agama ialah mengenal Allah. Permulaan agama ialah dengan mengenal Allah.

ilmu-ilmu yang utama dalam agama Islam ini ada tiga iaitu ilmu tauhid, ilmu fiqh dan ilmu tasauf. Ringkasnya tauhid-fiqh-tasauf. Setiap satunya ada beberapa nama lain. Contohnya, ada orang sebut ilmu kalam, ilmu syariat dan ilmu akhlak. Banyak nama tapi sebenarnya menceritakan benda yang sama. Jadi, tak perlulah kita berbahas tentang nama ataupun istilah, nanti akan membuang masa.

Ketiga-tiga ilmu ini tidak boleh dipisahkan. Semua orang mesti berusaha untuk belajar dan memahami ketiga-tiganya setakat yang termampu. Kita tidak boleh ‘ambil dua tolak satu’. Kita juga tentulah lebih tidak boleh ‘ambil satu tolak dua’. Ketiga-tiganya umpama batu tungku yang digunakan untuk melapik kawah.
Bolehkah kawah diletakkan di atas dua tungku sahaja? Jawapannya ‘tidak boleh’, ataupun lebih tepat lagi ‘hampir-hampir mustahil” boleh.
Kalau satu tungku? Lagilah tak boleh! Akan terbaliklah kawah.

Samalah tamsilannya dalam hal menembak musuh. Untuk menembak musuh dengan senapang, mestilah ada tiga perkara utama iaitu tukang tembak (manusia), senapang dan peluru. Seandainya tidak ada salah satu perkara di atas, perlakuan ‘menembak musuh’ tidak akan berlaku.
Ada manusia ada senapang tapi tak ada peluru. Boleh tembak? Tak boleh.
Ada manusia ada peluru, tak ada senapang. Boleh tembak? Tak boleh juga.
Ada senapang ada peluru tapi tak ada manusia. Boleh tembak? Tak boleh juga.
Ketiga-tiganya mesti ada untuk membolehkan perlakuan ‘menembak musuh’ berlaku.

Tapi orang sekarang ni pandai. Dia kata ‘ada peluru ada senapang tapi tak ada manusia” boleh tembak. Macam mana? Kita programkan senapang tu guna komputer. Apabila komputer berjaya mengesan penceroboh, secara automatik senapang akan mencari sasaran dan melepaskan peluru!
Memang betul, tapi kita kena tanya balik- yang programkan komputer tu siapa dia? Bukankah manusia juga?
Jadi, tetap mesti kena ada ketiga-tiganya baru senapang tadi boleh menembak.


Kita bagi contoh lagi, supaya faham betul-betul.


Untuk suap makanan ke mulut, kena ada sekurang-kurangnya tiga perkara utama. Satu- makanan. Dua- tangan. Tiga- mulut.
Katakanlah ada makanan ada tangan, tapi tak ada mulut. Macam mana? Ke mana makanan nak dihalakan? Kalau makanan itu dihalakan ke ketiak, ia tidak dinamakan suap. Kalau makanan itu dihalakan ke pusat, ia juga tidak dinamakan suap. Kalau makanan itu disumbatkan ke telinga, adakah kita sebut ‘suap”? Tidak kan?. Ia dinamakan ‘suap’ apabila makanan tadi dihalakan ke mulut. Selain itu tidaklah dinamakan ‘suap’. OK?


Baik. Ada makanan ada mulut tapi tak ada tangan. Jadi tak ‘suap’? Tidak.
Ada tangan ada mulut… tak ada makanan. ‘Suap’ ke tu? Tak jugak.
Kesimpulannya, untuk ‘suap’… mesti ada ketiga-tiganya sekali iaitu makanan, tangan dan mulut.

Tauhid ialah tahu, kenal dan faham Tuhan. Fiqh ialah cara-cara berabdi ataupun beribadah kepada Tuhan. Tasauf pula ialah pemurnian kepada tauhid dan fiqh tadi, untuk mencantikkan lagi tauhid dan fiqh.

Contoh- orang hendak menjala ikan.
Sebelum kita pergi menjala ikan kita kenalah tahu, kenal dan faham yang mana jala dan yang mana tempat ada ikan. Jangan pula nanti kita bawa cangkul ataupun joran ataupun senapang untuk menjala ikan. Ataupun kita pergi menjala di kolam renang, kolah bilik air, kubang kerbau dan sebagainya. Untuk itu kita kena belajar yang mana jala dan tempat mana ada ikan yang boleh dijala. Inilah tauhid ataupun usuluddin. Disebut juga ilmu usul dalam agama.

Setelah kita tahu apa itu jala dan di mana ada ikan, kenalah ada CARA-CARA menangkap ikan menggunakan jala. Cara-cara inilah yang kita katakan fiqh ataupun syariat. Kita belajar pula cara menjala.

Ada orang lempar jala yang kembangnya berbentuk bujur. Ada yang tak terkembang. Ada yang bentuk huruf lapan. Ada yang bulat cantik kembangnya. Dengan itu kenalah belajar pula pemurnian untuk mencantikan lagi kembang jala itu. Ini dinamakan tasauf.

Apabila ketiga-tiga ilmu ini dipelajari dan dikuasai, barulah boleh mendapat ikan, barulah mudah mendapat ikan.

No comments:

Post a Comment