Sejarah Ringkas Ajaran Wahhabi


Sejarah Ringkas Ajaran Wahhabi

Ajaran Wahhabi diasaskan oleh Muhammad bin Abdul Wahhab 1206H yang mendorong pengikutnya mengkafirkan umat islam dan menghalalkan darah mereka. Sudah pasti manusia yang lebih mengenali perihal Muhammad bin Abdul Wahhab adalah saudara kandungnya dan bapanya sendiri.

Saudara kandungnya Syeikh Sulaiman bin Abdul Wahhab sering memberi peringatan kepada umat islam dizamannya agar tidak mengikut ajaran baru Muhammad bin Abdul Wahhab kerana ajaran itu menghina ulama islam serta mengkafirkan umat islam. (Sebagai bukti sila rujuk 2 kitab karangan Syeikh Sulaiman tersebut: “Fashlul Khitob Fir Roddi ‘Ala Muhammad bin Abdul Wahhab” dan “ Sawaiqul Ilahiyah Fi Roddi ‘Ala Wahhabiyah”).

Bapanya juga iaitu Abdul Wahhab turut memarahi anaknya iaitu Muhammad kerana enggan mempelajari ilmu islam dan beliau menyatakan kepada para ulama: “Kamu semua akan melihat keburukan yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahhab ini”. ( Sebagai bukti sila rujuk kitab “As-Suhubul Wabilah ‘Ala Dhoroihil Hanabilah” cetakan Maktabah Imam Ahmad m/s 275). Demikianlah saudara kandungnya sendiri mengingatkan umat islam agar berwaspada dengan ajaran TAKFIR yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahhab.

Kenyataan Para Mufti Perihal Wahhabi

Mufti Mazhab Hambali Muhammad bin Abdullah bin Hamid An-Najdy 1225H menyatakan dalam kitabnya “As-Suhubul Wabilah ‘Ala Dhoroihil Hanabilah” m/s 276 : “Apabila ulama menjelaskan hujah kepada Muhammad bin Abdullah Wahhab dan dia tidak mampu menjawabnya serta tidak mampu membunuhnya maka dia akan menghantar seseorang untuk membunuh ulama tersebut kerana dianggap sesiapa yang tidak sependapat dengannnya adalah kafir dan halal darahnya untuk dibunuh”.

Mufti Mazhab Syafi’e Ahmad bin Zaini Dahlan 1304H yang merupakan tokoh ulama Mekah pada zaman Sultan Abdul Hamid menyatakan dalam kitabnya “ Ad-Durarus Saniyyah Fir Roddi ‘Alal Wahhabiyah m/s 42: “ Wahhabiyah merupakan golongan pertama yang mengkafirkan umat islam 600 tahun sebelum mereka dan Muhammad bin Abdul Wahhab berkata: Aku membawa kepada kamu semua agama yang baru dan manusia selain pengikutku adalah kafir musyrik ”.

Sejarah membuktikan Wahhabi telah membunuh keturunan Rasulullah serta menyembelih kanak-kanak kecil di pangkuan ibunya ketikamana mereka mula-mula memasuki Kota Taif. (Sila rujuk Kitab Umaro’ Al-bilaadul Haram m/s 297 – 298 cetakan Ad-Dar Al-Muttahidah Lin-Nasyr).

Tokoh Wahhabi Abdur Rahman bin Hasan Aal-As-Syeikh mengkafirkan golongan Al-Asya’iroh yang merupakan pegangan umat islam di Malaysia dan di negara-negara lain. Rujuk kitabnya Fathul Majid Syarh Kitab Al-Tauhid m/s 353 cetakan Maktabah Darus Salam Riyadh. Seorang lagi tokoh Wahhabi iaitu Soleh bin Fauzan Al-Fauzan turut menghukum golongan Al-Asya’iroh sebagai sesat akidah dan bukan Ahlus Sunnah Wal Jama’ah. Rujuk kitabnya Min Masyahir Al-Mujaddidin Fil Islam m/s 32 cetakan Riasah ‘Ammah Lil Ifta’ Riyadh.

Wahhabi bukan sahaja menghukum sesat terhadap ulama’ Islam bahkan umat islam yang mengikut mazhab pun turut dikafirkan dan dihukum sebagai musyrik dengan kenyataannya :

“ Mengikut mana-mana mazhab adalah syirik ”. Dan Wahhabi ini berani juga mengkafirkan Ibu bani adam iaitu Saidatuna Hawwa dengan kenyataannya:

“ Sesungguhnya syirik itu berlaku kepada Hawwa ”.

Tokoh Wahhabi tersebut Muhammad Al-Qanuji antara yang hampir dengan Muhammad bin Abdul Wahhab. Rujuk kenyataannya dalam kitabnya Ad-Din Al-Kholis juzuk 1 m/s 140 dan 160 cetakan Darul Kutub Ilmiah.

Maka fahaman ini menjadi kewajiban kepada Ulama‘ membongkar untuk diperjelaskan memandangkan ramai orang Islam yang terkeliru dengan propaganda aliran ini.

Aliran ini turut bertunjang kepada pemikiran Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim al-Khariji (al-Jauzi) antaranya:

Membawa konsep Bid‘ah yang bercanggah dengan Jumhur Ulama‘.

Mempromosi Bid‘ah dalam Usul (Aqidah) dan Furu‘.

Percangahan dalam masalah Aqidah:

1. Membawa kaedah tauhid “Tiga T” Tauhid Uluhiyyah, Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Asma’ Was Sifat, penyelewengan mereka dalam hal tersebut adalah kerana membeza-bezakan antara Tauhid Uluhiyyah dengan Tauhid Rububiyyah sehingga menghukum kesemua orang kafir juga beriman kepada Allah serta menetapkan Tauhid Asma’ Wa Sifat dengan erti yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jama’ah sejati bahkan lebih menjerumus kepada akidah Tajsim yang ditolak oleh ulama Islam, pembahagian tauhid mereka tersebut tidak pernah wujud di dalam sejarah ilmu tauhid Ahli Sunnah Wa al-Jama‘ah tulen.

2. Membawa fahaman “Tajsim dan Tasybih” iaitu menjerumus kepada menjisimkan Allah dengan mengatakan Allah itu adalah jisim dan menyamakan Allah dengan makhluk seperti menyifatkan Allah dengan sifat mulut, telinga, baying-bayang dan selainnya dari sifat yang tidak pernah Allah nyatakan dalam Al-Quran mahupun Al-Hadith.

3. Menolak Pengajian Sifat Dua Puluh.

4. Menghukum Syirik amalan tawassul, tabarruq, ziarah qubur dan isthtighathah.

5. Mengkafirkan dan membid’ahkan ramai Ulama’-Ulama’ yang diperakui kebenarannya di antaranya Imam Abu Hassan al-Asy‘ari, perumus aliran Ahlus Sunnah Wa al-Jama‘ah, Imam Nawawi dan Imam Ibnu Hajar Al-Asqolany turut dihina oleh kelompok Wahhabi.

6. Mengelirukan pengertian Takwil , Ta‘til dan Tafwid.

7. Mendakwa dari golongan salaf.

8. Mendakwa sesiapa yang menta‘zimkan Nabi Muhammad membawa kepada syirik.

Percanggahan dalam Furu’ iaitu cabangan agama:

1. Menganggap talqin sebagai bid‘ah sesat.

2. Mengganggap amalan tahlil, yasin, kenduri arwah sebagai bid‘ah sesat.

3. Menganggap qunut Subuh sebagai bid‘ah.

4. Tidak ada qada’ bagi solat yang sengaja ditinggalkan.

5. Menggangap lafaz sayyiduna (taswid) dalam solat sebagai bid’ah sesat.

6. Menggerak-gerakkan jari sewaktu tahiyyat awal dan akhir.

7. Menggangap doa beramai-ramai selepas solat sebagai bid’ah sesat.

8. Menyatakan bahawa doa, zikir dan selawat yang tidak ada dalam al-Quran dan Hadis sebagai bid’ah sesat. Menganggap amalan bacaan Yasin pada malam Jumaat sebagai bid’ah yang haram.

9. Mengatakan bahawa sedekah pahala tidak sampai.

10. Menolak sambutan mawlid nabi, bahkan menolak cuti sempena hari Maulid Nabi Muhammad bahkan yang lebih teruk lagi menyamakan sambutan mawlud nabi dengan perayaan Kristian.

11. Menolak amalan barzanji/marhaban/berdiri sewaktu selawat. Sufiyyah dianggap sebagai terkesan dengan ajaran Budha dan Nasrani. Sebahagian ulama’ mereka menyeru agar Maqam Rasulullah dikeluarkan dari masjid nabawi atas alasan menjauhkan umat Islam dari syirik.

12. Menganggap amalan menziarahi maqam Rasulullah, para anbiya’, awliya’, ulama’ dan solihin sebagai bid‘ah sesat lagi syirik. Sering mengkritik aliran Sufi dan kitab-kitab Sufi yang mu‘tabar.

No comments:

Post a Comment