NAFKAH ISTERI

Perkahwinan itu sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kerana ia membawa kepada ketenteraman jiwa, menahan emosi, menutup pandangan dari segala yang dilarang dan untuk mendapatkan kasih sayang suami isteri yang dihalalkan.

Perkahwinan juga dapat menjalin ikatan kekeluargaan di antara keluarga suami dengan keluarga isterinya, iaitu memperkuat ikatan kasih sayang sesama mereka. Keadaan ini setentunya memberi sumbangan kepada kekukuhan keluarga dan masyarakat. Disamping itu perkahwinan juga berfungsi untuk mengembangkan keturunan.

Perkahwinan itu bererti tanggungjawab dan amanah besar yang perlu dipikul oleh suami dan isteri. Antara tanggungjawab atau kewajipan suami terhadap isteri dan orang-orang yang di bawah tanggungannya adalah memberikan nafkah. Nafkah itu meliputi keperluan seharian seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Kewajipan memberi nafkah timbul kerana ikatan pernikahan iaitu suami terhadap isteri dan anak-anaknya. Manakala jumlah nafkah yang wajib diberikan adalah mengikut kemampuan dan kebiasaan setempat.

Pengertian Nafkah

Nafkah ialah penunaian belanja daripada harta seseorang untuk sesuatu yang baik, atau untuk dirinya dan untuk orang-orang yang di bawah tanggungannya seperti isteri atau anaknya. (An-Nawawi: Raudah At-Talibin 6/449 & Al-Mawardi: An-Nafakat 29)

Kewajipan nafkah itu telah ditentukan oleh Al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

Tafsirnya: "Dan kewajipan bapa (suami) pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu (isteri) menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya".

(Surah Al-Baqarah: 233)

Menurut tafsir Al-Mawardi bahawa maksud "al-maulud" dalam ayat di atas ialah bapa, "ar-rizq" maksudnya makanan secukupnya, "kiswah" ertinya pakaian. Manakala perkataan "al-ma‘ruf" ialah tidak terlampau kikir dan tidak pula berlebihan. (Tafsir Al-Mawardi: 1/300 & Al-Qurtubi: 2/845)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai seorang suami dan bapa yang menjadi contoh tauladan kepada umat manusia juga telah mengingatkan tentang kewajipan nafkah di dalam khutbah Baginda ketika menunaikan haji wada‘ yang maksudnya :

"Bertaqwalah kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kamu telah mengambilnya sebagai amanah Allah dan telah menghalalkan kehormatan mereka dengan kalimah Allah. Kamu mempunyai hak terhadap mereka iaitu mereka tidak boleh membiarkan orang lain yang tidak engkau sukai menempati tempat tidurmu, apabila mereka melakukannya maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukainya. Mereka berhak atasmu untuk meminta makan dan pakaian dengan baik".

(Hadis riwayat Muslim)

Pembahagian Nafkah

Ulama membahagikan nafkah kepada dua bahagian iaitu nafkah diri sendiri dan nafkah terhadap orang lain. Dalam hal ini, seseorang hendaklah mendahulukan nafkah untuk dirinya daripada nafkah kepada orang lain, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

"Mulailah dengan dirimu, maka sedekahkanlah jika ada kelebihan kepada ahli keluargamu, dan jika mempunyai kelebihan daripadanya berikanlah kepada kerabatmu"

(Hadis riwayat Muslim)

Menurut jumhur ulama, kewajipan nafkah terhadap orang lain, terjadi disebabkan oleh tiga perkara iaitu hubungan perkahwinan, hubungan kerabat dan hubungan milik (tuan terhadap hambanya). (Raudah At-Talibin: 6/449)

Syarat Untuk Mendapatkan Nafkah

Apabila berlaku suatu akad nikah dengan memenuhi rukun dan syaratnya, maka seorang isteri dengan sebab adanya akad nikah itu, menjadikan dia terikat oleh suaminya, dia berada di bawah kekuasaan suaminya dan suami pula berhak menikmati dirinya. Si isteri wajib taat kepada suaminya, tinggal di rumah yang telah disediakan oleh suaminya, bertanggungjawab mengatur rumahtangga suami, mengasuh anak dan sebagainya.

Agama Islam telah menetapkan kepada suami supaya memberikan nafkah kepada isterinya selama perkahwinan itu berterusan. Walau bagaimanapun bagi mendapatkan nafkah tersebut, seorang isteri hendaklah memenuhi beberapa syarat. Apabila syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi maka seorang isteri itu tidak berhak menerima nafkah dari suaminya. Dalam kitab Al-Majmuk (19/344) Imam An-Nawawi menyebutkan bahawa syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:

i. Akad yang sah.

ii. Perempuan itu sudah menyerahkan dirinya kepada suaminya.

iii. Isterinya tidak keberatan untuk pindah ke rumah (suami) apabila suami menghendakinya.

Khusus mengenai kewajipan nafkah ke atas isteri adalah bersandarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

"Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuanya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan oleh Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan oleh Allah".

(Surah At-Thalaq:7)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga mengingatkan mengenai kewajipan nafkah terhadap isteri itu, sebagaimana khutbah Baginda dalam haji wada’ yang maksudnya :

"Ingat! Sesungguhnya kamu mempunyai hak terhadap isteri-isteri kamu, bagi isteri-isteri kamu juga mempunyai hak terhadap kamu. Adapun hak kamu terhadap isteri-isteri kamu ialah mereka tidak membenarkan masuk ke tempat tidur kamu orang yang kamu tidak sukai dan mereka tidak membenarkan orang yang kamu tidak sukai masuk ke rumah kamu. Sesungguhnya hak-hak isteri terhadap kamu ialah berbuat baik terhadap mereka (dengan memberikan) pakaian dan makanan mereka".

(Hadis riwayat At-Tirmizi)

Menurut As-Syeikh As-Syarbini bahawa hak-hak yang wajib terhadap isteri itu tujuh perkara iaitu;

i. Makanan.

ii. Bahan-bahan seperti rempah-ratus (bawang, minyak masak, garam, gula, asam termasuk lauk-pauk dan sebagainya).

iii. Pembantu bagi isteri yang kebiasaannya mempunyai pembantu.

iv. Pakaian.

v. Alat-alat pembersih badan dan pencuci pakaian, sikat dan sebagainya.

vi. Perkakas-perkakas rumah seperti perkakas bilik air, perkakas tidor dan sebagainya dan yang terakhir ialah tempat tinggal (rumah). (Mughni Al-Muhtaj: 4/542 & Raudah At-Talibin: 6/450-461)

Maka penjelasan berikutnya hanya tertumpu kepada penjelasan mengenai nafkah makanan, pakaian, pembantu dan tempat tinggal sahaja.

NAFKAH ISTERI

(Bilangan 138 Bahagian Ketiga)


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Nafkah Makanan

Suami wajib memberi nafkah makan kepada isterinya dengan makanan yang asasi bagi sesebuah negeri seperti beras di negara kita.

Jumlah nafkah yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya sama dengan jumlah kafarah sumpah yang dibayar kepada setiap orang iaitu satu mudd (Al-Majmuk: 19/360) iaitu kira-kira bersamaan 566.85 gram. Ini berdasarkan firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :

"Daripada jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu".

(Surah Al-Maidah: 89)

Mazhab Syafi‘e juga menetapkan bahawa pemberian nafkah tersebut iaitu pada setiap hari bermula dari terbit matahari. Bagi suami yang mampu/kaya, dia wajib memberi nafkah sebanyak dua mudd bersamaan 1 kilo 133.70 gram beras. Manakala suami yang tidak mampu hanya wajib memberi satu mudd iaitu 566.85 gram bagi setiap hari. Adapun orang pertengahan, wajib membayar 1½ mudd bersamaan 850.275 gram. (Raudhah At-Talibin: 6/450 & Al-Majmuk: 19/358) Walau bagaimanapun adalah harus pula memberi nafkah itu dengan segera atau melambatkannya tertakluk kepada persetujuan suami isteri tersebut. (Al-Fiqh wa Adillatuhu:10/7389)

Menurut Imam As-Syirazi pula adalah harus bagi suami memberi beras itu dengan nilaian harga jika suami isteri bersetuju. (Al-Muhazzab: 4/607-608)

Termasuk dalam kategori makanan itu ialah lauk pauk, rempah- ratus, minyak makan dan sebagainya. Dari itu suami juga wajib menyediakan alat dapur seperti tempat memasak, pinggan mangkuk dan yang berkaitan dengannya. (Raudhah At-Talibin: 6/ 453)

Mengenai makanan daging, menurut Imam An-Nawawi, suami wajib memberikannya kepada isteri. Berdasarkan perkataan Imam As-Syafi‘e, suami yang kurang mampu hendaklah memberikannya seminggu sekali dan sunat memberikannya pada hari Juma‘at. (Raudhah At-Talibin: 6/452)

Kewajipan Menyediakan Pakaian

Adapun yang berkaitan dengan masalah pakaian, ulama sepakat menyatakan bahawa hal itu tergantunglah kepada kemampuan suami kerana tidak ada nas yang menentukan kadar dan jumlahnya, akan tetapi menurut mereka; hakim atau kadi boleh menentukan kadar dan jumlahnya itu dengan mempertimbangkan keadaan dan kemampuan suami. (Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu: 10/7389)

Menurut Asy-Syirazi bahawa suami wajib memberikan pakaian kepada isterinya pada setiap enam bulan sekali dengan makna yang lain dua kali dalam setahun. (Al-Muhazab: 4/613) Walau bagaimanapun Asy-Syirazi menyebutkan bilangan minima pakaian yang wajib diberikan oleh suami adalah tiga helai pakaian pada musim panas dan empat pada musim sejuk iaitu qamis yang menutup seluruh badan, Qina‘ (tudung) yang menutup kepala, seluar atau kain menutup badan dan jubah (long outer garment) pada musim sejuk. (Al-Majmuk: 19/362)

Termasuk dalam kategori pakaian yang wajib disediakan itu ialah milhafah (selimut), wisadah (bantal), labid (hamparan permaidani yang tebal atau tilam), hasyir (tikar) dan lain-lain. (Al-Majmuk: 19/362)

Al-Mawardi pula menyebutkan dalam kitab An-Nafakat bahawa suami hendaklah memberikan pakaian kepada isterinya bukan dengan nilaian harga pakaian itu kerana hak kepada isteri itu adalah pakaian bukan nilaian harganya, ini termasuk upah menjahit. (An-Nafakat 78)

Kewajipan Menyediakan Tempat Tinggal

Suami wajib menyediakan tempat tinggal atau rumah untuk isterinya sama ada dengan membeli, menyewa, meminjam atau didapatkan melalui wakaf. (Mughni Al-Muhtaj: 3/550) Hal ini sesuai dengan firman Allah Subhanhu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

Tafsirnya: "Tempatkanlah isteri-isteri kamu itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu)."

(Surah At-Thalaq: 6)

Ulama juga sepakat mensyaratkan bahawa rumah yang disediakan itu hendaklah sempurna sebagaimana kelazimannya bagi sesebuah rumah yang mempunyai kemudahan-kemudahan seperti dapor dan perkakasnya, bilik air (tandas) serta kemudahan-kemudahannya, alat-alat pencuci, peralatan makan minum dan lain-lain, kecuali bagi suami yang tidak mampu mengadakan kemudahan-kemudahan tersebut. (Mughni Al-Muhtaj: 4/550 & Al-Fiqh Wa Adillatuhu: 10/7393).

Ayat di atas juga menjelaskan masalah tempat tinggal bagi perempuan dalam ìddah dan masalah perbelanjaan dalam masa tersebut iaitu para suami diperintahkan menempatkan isteri yang diceraikan itu di rumah-rumah kediaman mengikut kemampuan mereka. Mereka juga diperintahkan memberi nafkah kepada isteri-isteri hamil sehingga mereka bersalin iaitu masa berakhir ‘iddah. Tujuannya supaya para suami tidak akan menyakiti isteri-isteri mereka yang sedang dalam ‘iddah itu dengan menyempit-nyempitkan keselesaan tempat tinggal atau merendahkan tarafnya atau memberi layanan yang buruk. (Tafsir Fi Zilalil Qur’an (trj): 16/168)

Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini bahawa tidak gugur nafkah isteri sekalipun isteri itu keluar rumah tanpa izin suami dan isteri tersebut tidak dianggap nusyuz dalam beberapa keadaan (Mughni Al-Muhtaj: 3/557), di antaranya adalah seperti yang dinyatakan di bawah ini:

(i) Apabila rumah tempat tinggal itu hendak runtuh.

(ii) Apabila dipaksa keluar daripada rumah itu secara zalim.

(iii) Apabila isteri bersendirian dalam rumah dan bimbang akan diri dan hartanya daripada orang fasiq dan pencuri.

(iv) Apabila dihalau keluar oleh tuan yang empunya rumah (rumah sewa atau seumpamanya) selain rumah suami.

(v) Apabila isteri keluar menemui kadi atau hakim bagi menuntut haknya daripada suami.

(vi) Apabila isteri hendak memohon fatwa.

(vii) Isteri keluar rumah tanpa izin (kerana ziarah atau mengucapkan takziah) kepada kerabat seperti bapa atau jiran, ketika suami berada di luar daerah atau negeri. Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini urf (kebiasaan) seperti ini tidak dianggap nusyuz.

Dalam hal ini Imam As-Syafi‘e menjelaskan bahawa suami mempunyai hak melarang isteri keluar rumah bagi menziarahi kedua ibu bapa siisteri sama ada mereka masih hidup atau sebaliknya. Walau bagaimanapun adalah sunat (mustahab) bagi suami memberi kebenaran kepada si isteri untuk menjengok kedua ibu bapanya (si isteri) apatah lagi menziarahi mayat mereka kerana perbuatan melarang siisteri keluar menziarahi mereka itu boleh mendatangkan kebencian kerana sikap benci-membenci itu adalah ditegah oleh Islam. (Al-Majmuk: 18/94-95)

Menurut pengarang kitab Fath Al-Mu‘in pula, keluar kerana mencari nafkah (rezeki) seperti berniaga atau bekerja disebabkan oleh suami yang mu‘sir (melarat) tidak dianggap nusuz. (Fath Al-Mu‘in: 4/122)

No comments:

Post a Comment