Tuan Guru Haji Bidin Terengganu

Tuan Guru Haji Bidin Terengganu

DIkirim oleh epondok di Julai 30, 2009

Mohd Fadli Ghani
PAS Terengganu telah mengadakan sambutan Jubli Emasnya di Dungun dua tahun lalu. Sambutan ini dibuat di tempat ia ditubuhkan iaitu Surau Haji Bidin, Sura Gate. Kira-kira 50 tahun sebelum itu, iaitu pada 6 Julai 1956, satu perjumpaan 24 orang pemuda Islam telah diadakan di surau ini yang dikenali juga sebagai Madrasah az-Zainiyah dengan dipimpin oleh Tuan Guru Haji Bidin.Dalam perjumpaan ini, cawangan PAS yang pertama di Terengganu telah berjaya ditubuhkan dan dinamakan sebagai PAS Cawangan Dungun dengan Tuan Guru Haji Bidin sebagai Yang Dipertuanya. Inilah bermulanya sejarah PAS Terengganu sebelum ia menjadi kubu kuat PAS hari ini.Tuan Guru Haji Bidin atau nama sebenarnya, Zainal Abidin bin Aman bin Mat Ali ialah seorang ulama yang terkenal di Terengganu. Beliau dilahirkan pada 1893 di Kampung Tasik, Wau, Ulu Dungun. Ibunya, Saadiah Jaafar ialah seorang ibu tunggal setelah suaminya meninggal dunia, tetapi kemudian berkahwin dengan Hamzah, iaitu datuk kepada bekas Bendahari Agung PAS, Ustaz Abdul Wahab Yunus.Haji Bidin menjadi anak yatim semenjak kecil, tetapi mendapat didikan agama daripada ibunya. Ketika berusia 11 tahun, belia dihantar belajar dengan Haji Taib Hassan dan Ustaz Baki Awang di Kampung Sindol. Pada 1906, beliau memasuki Pondok Pulau Serai dan berguru dengan Tuan Guru Haji Yusof bin Lebai Isa selama enam tahun.

ImageSetelah itu beliau berhijah pula ke Pondok Losong untuk berguru dengan Tuan Guru Haji Mat Shafie Losong yang terkenal itu. Dua tahun di pondok ini, pada 1914, Haji Bidin berpindah ke Kelantan kerana tertarik dengan kemasyhuran Tok Kenali. Beliau sempat berguru dengan Tok Kenali di Pondok Kenali sehingga 1926. Beliau sempat belajar bersama-sama Sheikh Idris Marbawi dan Tuan Guru Haji Nik Mat Alim (ayah Mursyidul Am PAS).

Di samping itu, beliau berulang-alik ke Masjid Muhammadi kerana berguru dengan Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang dan Tuan Guru Haji Yaakub Legor. Di Pondok Kenali ini, Haji Bidin telah menjadi kepala telaah dan sempat mengajar Mufti Haji Ahmad Maher selama enam tahun. Pengajian beliau tamat pada 1926 kerana Tok Kenali menyuruh beliau balik ke Dungun membuka pondok.

Selepas beberapa ketika mengembara, sekitar 1927, Haji Bidin mula mengajar dan membuka pondok di Hulu Sungai Penaga. Ketika yang sama beliau telah dilantik menjadi Imam Muda Masjid Kampung Tengah, Kuala Dungun. Ketika menjadi imam di sini, Haji Bidin telah berhadapan dengan beberapa masalah amalan khurafat dan ajaran sesat, tetapi berkat usaha gigihnya, beliau berjaya mengatasi masalah ini.

Tujuh tahun kemudian, Haji Bidin telah membuka pondok baru di satu kawasan yang dikenali sebagai Tanah Lot. Pada 1938, sebuah madrasah telah berjaya disiapkan sebagai tempat pengajian. Bagaimanapun, beliau kekal sebagai imam di Kampung Tengah sehingga 1951. Selepas bersara sebagai imam, Haji Bidin sekali lagi memindahkan pondoknya ke Sura Gate, dan mendirikan pusat pengajian yang dikenali sebagai Madrasah az-Zainiyah yang suraunya masih wujud hingga hari ini.

Haji Bidin mengajar beberapa cabang ilmu yang penting dalam pengajian Islam seperti fiqh, hadis, nahu, tafsir, balaghah, mantiq dan lain-lain. Antara kitab yang diajar oleh beliau ialah Matan Ajrumiah, Azhari, Qatr, Syuzuz al-Zahab, Ibnu Aqil, Asymuni, Sittin, Fathul Muin, Tahrir, Mahalli, Iqna�, Fathul Wahab, Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Ibni Ibad, Iqaz al-Himam, Jauhar al-Mauhub, Siyarus Salikin dan lain-lain.

Beliau juga berjaya melahirkan ramai murid yang terkenal termasuk Ustaz Omar Shukri Embong (bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu) dan Ustaz Abdul Wahab Yunus, bekas Ahli Parlimen Dungun yang juga pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Haji Bidin, selain terkenal kerana alim dalam bidang agama dan menjadi imam di masjid, turut dihormati kerana memiliki keramat tertentu. Banyak cerita yang diriwayatkan tentang keramat yang dimiliki oleh beliau, antaranya tidak ditimpa hujan ketika menaiki perahu bersama kitab-kitabnya walau hujan sedang lebat. Pernah juga berlaku percubaan melanggar beliau dengan kereta, tetapi niat jahat itu terhalang kerana enjin kereta tersebut mati dan ia hanya boleh dihidupkan setelah orang tersebut memohon maaf kepadanya.

Beliau juga dikatakan boleh mengangkat kayu besar seorang diri. Cerita-cerita kekeramatan beliau ini telah menyebabkan beliau amat disegani oleh masyarakat di Dungun. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang warak, lemah lembut, tidak pemarah dan tidak suka bercakap banyak. Beliau dikatakan mengikut perangai Tok Kenali.

Kerana gurunya seorang yang minat politik, Haji Bidin turut mewarisi minat ini di mana beliau semenjak di Kenali lagi sudah mula menulis dalam akhbar Majlis. Beliau tertarik dengan perkembangan politik di Istanbul tetapi keras menolak fahaman sekular yang dibawa oleh Mustafa Kamal Ataturk.

Sejak muda, kecenderungan beliau adalah politik Islam yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Tetapi pada peringkat awal, beliau menyokong Umno untuk menghalau British, bahkan turut berkempen dalam pilihan raya 1954 untuk menyokong Ustaz Mohd Taib Sabri menentang calon Parti Negara. Tetapi pada 1956, setelah PAS mulai berkembang, Haji Bidin bersetuju dengan gagasan politik yang dibawa oleh Pesuruhjaya PAS Pantai Timur, Datuk Mohd Asri Muda.

Atas usaha gigih beliau mengumpulkan pemuda-pemuda yang berminat dengan politik Islam, maka satu perjumpaan diadakan di suraunya di Sura Gate. Hasilnya, PAS Cawangan Dungun berjaya ditubuhkan sebagai cawangan pertama di Terengganu. Haji Bidin diberikan amanah sebagai Yang Dipertua PAS Dungun untuk satu tempoh yang lama. Beliau melepaskan jawatannya pada 1971 kerana uzur, tetapi terus komited dengan perjuangan PAS.

Enam tahun kemudian, iaitu ketika muridnya yang juga anak saudaranya, Ustaz Abdul Wahab Yunus sedang memegang jawatan sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Haji Bidin telah jatuh sakit dan meninggal dunia di rumah anaknya, Haji Anuar di Bukit Segambut, Kuala Lumpur.

Beliau meninggal dunia dalam bulan Ramadan pada 20 Ogos 1977 dan dikebumikan di perkuburan Syed Yahya, Dungun. - tajdid _

Dikirim dalam Tokoh Ulama' | Leave a Comment »

Muallim Abdul Wahid Sungai Udang, Ulama’ Melaka Tersohor

DIkirim oleh epondok di Julai 29, 2009

Mohd Fadli Ghani
DI KALANGAN ulama Melaka, tidak ramai yang menjadi tuan guru pondok seperti mana di Kelantan atau Kedah. Hanya beberapa kerat sahaja ulama pondok di negeri Hang Tuah ini yang membuka pondok antaranya ialah Tuan Guru Ahmad Kasim, Tuan Guru Mohd Zain Abdul Rahman, Mufti Jalil Hassan dan Tuan Guru Abdul Wahid Sungai Udang.Di kalangan ulama selepas merdeka, hanya Haji Wahid Sungai Udang atau Muallim Haji Wahid sahaja yang terkenal terutama kerana Madrasah an-Nuriah yang diasaskannya adalah institusi pendidikan Islam terpenting di Melaka sehingga hari ini. Nama sebenar beliau ialah Abdul Wahid bin Othman bin Ningkal dan berketurunan Kerinci, Sumatera. Datuknya berhijrah dari Kerinci ke Melaka pada akhir abad ke-19. Ibunya bernama Siti binti Haji Yusof. Beliau dilahirkan di Kampung Paya Rumput, Rumbia, Melaka pada 1910.Beliau mula dihantar belajar di Sekolah Melayu Tangga Batu sehinga lulus Darjah Lima. Ketika berusia 14 tahun, beliau belajar agama di Palembang, Sumatera di bawah bimbingan Tuan Guru Haji Sultan. Setahun kemudian, beliau kembali ke Melaka dan memasuki Pondok Paya Rumput dan berguru dengan Tuan Guru Haji Mohd Zain Abdul Rahman.Selepas itu beliau memasuki Pondok Khairiyah, Batu Tujuh, Air Molek di bawah Tuan Guru Haji Abdul Majid. Dua tahun kemudian beliau berguru pula dengan bapa saudaranya, Tuan Guru Haji Ahmad Kassim sehingga 1931. Setelah itu, beliau mula berkelana ke Kelantan dan sempat berguru dengan ulama-ulama yang terkenal seperti Tok Kenali, Tuan Guru Ahmad Manan Tok Hakim, Mufti Haji Wan Musa Tuan Tabal, Tuan Guru Haji Ali Salahuddin Pulau Pisang, Tuan Guru Haji Yaakub Legor, Mufti Haji Ahmad Maher, Tuan Guru Haji Omar Nuruddin Sungai Keladi, Mufti Haji Mohd Noor Ibrahim, Tuan Guru Haji Said Kangkung dan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Bunut Payung.

Pengembaraan ilmu di beberapa pondok di Kelantan berakhir pada 1940. Antara rakan-rakan seperguruan beliau di Kelantan ialah Tuan Guru Haji Yahya Junid (bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS), Tuan Guru Haji Hussein Rahimi (bekas Ketua Dewan Ulama PAS Pusat), Tuan Guru Haji Ghazali Pulau Chondong (bekas Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan), Tuan Guru Haji Othman Yunus (bekas Pesuruhjaya PAS Kedah), Tuan Guru Haji Nik Mat Alim (ayahanda Mursyidul Am PAS) dan Tuan Guru Haji Awang Muhammad Rusila (ayahanda Presiden PAS).

Ketika berada di Pondok Bunut Payung, keilmuan beliau sudah diakui sehingga dilantik menjadi guru pembantu bersama Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi dan Tuan Guru Haji Hussein Rahimi.

Selepas menamatkan pengajian pada 1940, beliau kembali berkhidmat di Melaka. Pada 8 Rejab 1358 (12 Ogos 1940), Muallim Haji Wahid telah mendirikan pondoknya sendiri iaitu Madrasah an-Nuriah ad-Diniah di Paya Rumput, Melaka.

Pondok ini telah mendapat sambutan hebat pada 1950-an di mana terdapat hampir 100 buah pondok dengan lebih 350 orang pelajar. Pada 1962, madrasah ini telah mendirikan asrama untuk anak yatim lelaki di Sungai Udang, manakala anak yatim perempuan kekal di Paya Rumput.

Muallim Haji Wahid mengajarkan ilmu fiqh, tasawuf, nahu, saraf, tauhid, tafsir dan hadis di kedua-dua asrama ini. Pada 1971, sistem pengajian akademik diperkenalkan di madrasah ini di sebelah pagi, manakala pengajian pondok pada sebelah petang dan mendapat bantuan Majlis Agama Islam Melaka.

Muallim Haji Abdul Wahid juga terkenal kerana kehidupan sufinya. Beliau dikenali kerana warak, tawaduk dan qanaah sehingga dianggap sebagai wali Allah. Beliau mengamalkan wirid Tariqat Ahmadiyah yang diterima dari gurunya, Mufti Haji Wan Musa di Kelantan.

Antara peristiwa berhubung karamahnya yang diceritakan anak muridnya adalah tindakan beliau mengisi air dalam tangki minyak kereta setelah kehabisan minyak ketika keluar berdakwah.

Beliau juga suka mengembara dan telah melawat beberapa negeri seperti Arab Saudi, Indonesia, Mesir, Turki, Iraq, Kuwait dan India. Dalam kesibukan berdakwah, beliau sempat menghasilkan beberapa buah tulisan seperti Kitab al-Islam, Risalah Ilmu Falak dan risalah-risalah kecil yang melebihi 10 judul.

Selain mejadi seorang tok guru di pondoknya, Muallim Haji Wahid juga tidak ketinggalan dalam menggerakkan usaha dakwah dan politik. Pada peringkat awal, Muallim Haji Wahid menyertai Umno kerana menentang Malaya Union dan aktif dalam Bahagian Agama Umno Melaka sejak 1946.

Beliau kemudian menyertai All-Malayan Islamic Missionary atau Jam�iyah Dakwatul Islamiyah Malaya cawangan Melaka dan menjadi salah seorang jawatankuasanya. Muallim Haji Wahid pernah mewakili jam�iyah ini ke Persidangan Alim Ulama Se-Malaya di Muar pada 21-22 Februari 1950. Persidangan itu merupakan tapak kepada penubuhan PAS pada 23 Ogos 1951.

Menyedari kewajipan berjuang untuk menegakkan agama Allah, Muallim Haji Wahid telah menyertai PAS pada 1956 dan merupakan antara pengasas PAS Melaka. Walaupun tidak pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Melaka, tetapi beliau diberikan peranan besar dalam Dewan Ulama PAS Melaka sesuai dengan keilmuan beliau. Muallim Haji Wahid turut memberikan sumbangan kepada Dewan Ulama PAS Pusat sebelum dilantik sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Melaka sejak tahun 1960-an hingga 1987. Boleh dikatakan beliaulah tulang belakang kepada Dewan Ulama PAS Melaka dan Madrasah an-Nuriah pula menjadi pusat kegiatan PAS yang penting ketika itu.

Ketika PAS mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan di Melaka pada 1962, Muallim Haji Wahid merupakan tenaga utama dalam menjayakan muktamar ini.

Setelah lebih 40 tahun menjadi khadam kepada perjuangan agama dan pendidikan anak bangsanya, ulama yang berkebolehan dalam ilmu falak ini telah pulang ke rahmatullah pada 3 Oktober 1991 bersamaan 14 Rabiul Awwal 1411 dalam usia 81 tahun. Beliau dikebumikan di Solok Duku, Masjid Tanah.

Allahyarham telah meninggalkan waris perjuangan iaitu anaknya, Ustaz Jalaluddin Abdul Wahid, bekas Pesuruhjaya PAS Melaka merangkap bekas Ketua Dewan Ulama PAS Melaka serta anak saudaranya, Ustaz Zulkifli Ismail, Ketua Dewan Ulama PAS Melaka kini.

Antara murid beliau yang terkenal ialah Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang kini menjadi Pesuruhjaya PAS Melaka dan Tuan Guru Haji Yaakub Solok Duku. - tajdid _

Dikirim dalam Tokoh Ulama' | Leave a Comment »

Tuan Guru Haji Hussin Rahimi Bunut Payung

DIkirim oleh epondok di Julai 28, 2009

Mohd Fadli Ghani
SALAH seorang ulama PAS yang terkenal pada era 1960-an ialah Tuan Guru Hussin Rahimi, iaitu tuan guru di Madrasah Ahmadiyah, Bunut Payung, Kelantan.Tuan Guru Haji Hussin yang menyertai PAS pada 1954 iaitu sebaik sahaja PAS membuka sayapnya di Kelantan ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sebelum diambil alih oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1968. Ini bermakna Tuan Guru Haji Hussin ialah salah seorang pemimpin kanan PAS ketika itu, selain pernah menjadi wakil rakyat di Kota Bharu sebanyak dua kali iaitu pada 1959 dan 1964.Nama sebenar beliau ialah Hussin Rahimi bin Saman bin Abdul Rahman. Di sebelah bapanya, Tuan Guru Haji Mat Saman merupakan seorang ulama yang terkenal di Pasir Puteh dan pernah belajar di Makkah sebelum Perang Dunia Kedua. Beliau terkenal dengan gelaran Haji Mat Saman Jawi kerana mahir kitab Jawi dan gelaran itu melekat padanya ketika berada di Makkah untuk dilaqabkan dengan nama beliau yang berasal dari Tanah Jawi (Nusantara).

Haji Mat Saman membuka pondok di Tebing Tinggi, Pasir Puteh dan juga di Kok Berangan, Pasir Puteh, Kelantan. Ibunya pula, Hajjah Che Mas atau Halimah binti Haji Sulaiman bin Abdul Ghafur ialah anak kepada seorang ulama, Tuan Guru Haji Sulaiman atau lebih terkenal dengan gelaran Tok Ayah Sulaiman Keramat, pengasas Pondok Pasir Perah, Chetok, Pasir Mas. Tok Ayah Sulaiman berpangkat sepupu dengan Datok Kadok, pahlawan Kelantan yang terbilang itu.

Dengan latar belakang keluarga yang terdiri daripada alim ulama di kedua-dua jurai keturunan, maka tidak hairanlah apabila Tuan Guru Haji Hussin yang dilahirkan di Kampung Tebing Tinggi, Pasir Puteh pada tahun 1919 turut menjadi ulama yang terkenal. Semenjak kecil beliau dididik oleh ayahnya di Pondok Haji Mat Saman, Tebing Tinggi sebelum dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Mat Garam (Haji Ahmad Zainal Abidin) di Pondok Gong Datuk.

berguru dengan anak Tok Kenali

Setelah usianya meningkat remaja, beliau dimasukkan pula ke Pondok Kenali yang membolehkannya berguru dengan anak Tok Kenali, Tuan Guru Haji Mat Bangkok (ayah kepada bekas Adun Lundang, Allahyarham Ustaz Mawardi Ahmad) dan juga Tuan Guru Haji Mat Jebeng, anak saudara Tok Kenali.

Pada tahun 1937, Tuan Guru Haji Hussin berpindah pula ke Pondok Bunut Payung dan berguru dengan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir. Di pondok ini beliau mentelaah selama 10 tahun sehingga diterima oleh gurunya untuk menjadi guru pembantu bersama-sama Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi (Pesuruhjaya PAS Kedah), Tuan Guru Haji Wahid Sungai Udang (Ketua Ulama PAS Melaka), Tuan Guru Hassan Hilmi (anak Tuan Guru Haji Abdullah Tahir) dan lain-lain.

Ketika berada di Bunut Payung, beliau mengambil kesempatan untuk menadah kitab di Surau Tok Khurasan bersama-sama ulama lain ketika itu antaranya Tuan Guru Haji Nik Mat Alim (ayah Tuan Guru Nik Aziz), Tuan Guru Haji Yaakob Gajah Mati, Tuan Guru Haji Nik Lah Wan Musa dan Tuan Guru Nik Aziz sendiri.

Sepuluh tahun kemudian, Tuan Guru Haji Hussin bertolak ke Makkah dan mendapat sentuhan beberapa orang ulama terkenal termasuk Sheikh Yassin al-Fadani yang terkenal itu.

Berkemungkinan beliau sempat belajar di Madrasah Darul Ulum, Makkah tempat di mana Sheikh Yassin menjadi mudir itu. Beliau berada di Makkah selama empat tahun dan kembali ke Kelantan pada 1951. Oleh kerana ketika di Bunut Payung, beliau telah berkahwin dengan Hajah Che Som, anak Tuan Guru Haji Abdullah Tahir, maka Hussin memilih untuk menjadi guru di Bunut Payung yang lebih besar dan terkenal berbanding pondok ayahnya di Kok Berangan, Wakaf Bunut. Beliau mengajar di Bunut Payung selama 20 tahun iaitu sehingga akhir hayatnya pada 1971.

Di samping menjadi guru di pondok ini, Tuan Guru Haji Hussin turut terlibat bersama iparnya, Tuan Guru Haji Hassan Hilmi dalam menubuhkan Madrasah Sullamiah, Bunut Payung pada 1958 iaitu sebagai sokongan kepada Pondok Bunut Payung. Madrasah ini menggunakan sistem kelas dan pelajarnya boleh menyambung pengajian di Maahad Muhammadi.

Dalam masa yang sama juga, Tuan Guru Haji Hussin cuba menghidupkan semula Jabhah ad-Diiniyah Kelantan yang diasaskan oleh adik-beradik Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dan Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad pada 1937 dahulu. Hasilnya, pada 1957, Persatuan Guru-guru Agama Rakyat Kelantan (PEGERAK) telah berjaya ditubuhkan di Bunut Payung selepas satu perjumpaan di Padang Lepai, Kadok.

PEGERAK dipimpin oleh Ustaz Hassan Idris, adik kepada Mufti Sabah, Haji Ahmad Idris. Ketika Jabhah al-Diiniah masih wujud sebelum beliau berangkat ke Makkah, Tuan Guru Haji Hussin merupakan tenaga penting yang membantu mertuanya menggerakkan jabhah tersebut.

Ekoran penyertaan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dalam PAS pada 1954 diikuti oleh Pondok Bunut Payung menjadi tuan rumah Mesyuarat Agung PAS ke-4 pada 1955, maka Tuan Guru Haji Hussin telah sama menyertai perjuangan Islam dalam PAS. Pada 1955, beliau terlibat membantu bapa saudaranya, Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad bertanding mewakili PAS di Pasir Mas. Akhinya pada 1959, beliau sendiri menjadi calon PAS bagi Parlimen Kota Bharu Hulu dan menjadi wakil rakyat selama dua penggal berakhir 1969.

Beliau yang pernah menjadi anggota Jemaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) telah dilantik sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, kemudian pada 1962, menjadi Ketua Dewan Ulama PAS Pusat sehingga 1968. Di samping itu juga, Tuan Guru Haji Hussin turut dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Agama Kerajaan Kelantan (1959-1969) dan selepas tidak menjadi wakil rakyat, beliau berkhidmat sebagai anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Kelantan (1969-1971).

Sesudah 20 tahun memberikan jasa dalam bidang pendidikan, politik, pentadbiran awam dan agama, akhirnya pada 17 November 1971, Tuan Guru Haji Hussin meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur dalam usia 52 tahun iaitu setelah jatuh sakit selama sebulan.

Antara murid beliau yang terkenal ialah Ustaz Abdul Wahab Yunus, bekas Ketua Pemuda PAS Pusat dan bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan. Menantunya, Ustaz Yahya Othman, bekas Exco Kerajaan Kelantan yang pernah menjadi Murabbi Tarbiyah PAS dan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS adalah antara waris yang meneruskan perjuangan beliau dalam PAS bagi menegakkan daulah Islam.- tajdid_

No comments:

Post a Comment