ISTILAH SUFI

Manhal ash-Shafi kupas istilah sufi

SYEIKH Daud bin 'Abdullah al-Fathani juga menulis mengenai tasawuf dari peringkat asas hingga ke tinggi. Perkara yang dibicarakan, termasuk dalam kategori tasawuf peringkat tinggi, dalam istilah akademik moden disebut "tasawuf falsafi".

Judul lengkap ialah Manhal ash-Shafi fi Bayan Ramzi Ahli ash-Shufi, tanpa dinyatakan tarikh penulisan. Ditinjau dari segi sebaran berupa cetakan kitab ini termasuk dalam klasifikasi kitab nadir (langka). Tetapi ditinjau dari sudut salinan manuskrip yang diperoleh jumlahnya cukup banyak.

Di antara sekian banyak salinan yang baik ialah yang dilakukan oleh Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani dan Haji Muhammad Hasyim ibnu al-Haji Muhammad Yusuf Raman al-Fathani. Salinan Haji Muhammad Hasyim ibnu al-Haji Muhammad Yusuf Raman al-Fathani diselesaikan pada 4 Rejab 1306 H/1888 M. Dari seluruh manuskrip judul ini yang telah ditemui, khat yang mengandung seni yang tersendiri adalah manuskrip ini. Boleh dikatakan khat yang terindah.

Biodata mengenai penyalinnya dapat dirujuk tulisan saya dalam Jurnal Filologi Melayu, jilid 2, 1993, muka 54-55. Asal naskhah dimiliki oleh Ali bin Abdullah berasal dari Pulau Subi, Pulau Tujuh Kepulauan Riau. Beliau memperolehnya daripada penyalin naskhah di Makkah.

Selanjutnya naskhah dibawa pindah dari Makkah ke Pulau Subi, selanjutnya dibawa pindah ke Pulau Midai. Diserahkan oleh warisan pemilik kepada saya pada 1986. Manhal ash-Shafi pernah dicetak oleh Maktabah wa Mathba'ah Muhammad Nahdi, 24 Muharam 1373 (cetakan ketiga). Selain cetakan ini pernah dicetak oleh Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan. Cetakan manuskrip Manhal ash-Shafi dari versi salinan Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani diusahakan oleh Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1993, sekali gus telah ditransliterasi dari Melayu/Jawi kepada Latin/Rumi atas usaha saya sendiri.

Kandungan Manhal ash-Shafi ialah membicarakan tasawuf, terutama istilah dalam ilmu itu. Antara banyak istilah sufi dan takrifnya menurut Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani ringkasnya sebagai berikut: Al-Ittishal, maksudnya ‘berhubung-hubung’. Menurut an-Nuri bahawa ‘ittishal’ itu ialah ‘mukasyafah Qalbi’ dan ‘Musyahadah Sirr’.

Pendapat lain mengatakan bahawa seseorang hamba memandang yang lain daripada tuhannya, tetapi rahsianya tidak berhubung dengan lintasan bagi yang lainnya. Jadi masih Allah jua yang terlintas adanya.

Wushul ila Allah, maksudnya ‘sampai kepada Allah’. Iaitu sampai dengan erti kata mengenal-Nya. Bahawa tiada yang berbuat dan berlaku pada sekalian akuan ini, tiada yang mempunyai sifat, tiada yang maujud melainkan Allah.

Muraqabah, maksudnya ‘mengekalkan pengetahuan bahawa Allah melihatnya pada setiap kelakuannya’. Atau dikatakan juga erti ‘Muraqabah’ itu ‘seseorang hamba memfana'kan af'alnya, sifatnya dan zatnya, yang diingat hanyalah Allah.’

Musyahadah, maksudnya "melihat kepada tuhannya yang sebenarnya di dalam tiap-tiap zarrah daripada ‘zarratul wujud’ ini serta disunyikan daripada tiap-tiap yang tiada patut atas kebesaran-Nya.

Tajalli, maksudnya ‘yang dibukakan bagi hati seseorang Salik mengenai beberapa nur yang datang dari ‘Yang Ghaib’.

'Isyq, maksudnya ‘cita-cita hati untuk bertemu dengan Allah yang dikasihinya.’

Mahabbah, maksudnya ‘cenderung hati untuk mendapatkan keindahan hadhrat ar-Rabbani.’

Haal, maksudnya ‘sesuatu yang datang atas hati si Salik suka atau duka atau hebat. Jika ada dia silih berganti adanya dan hilangnya tanpa perbuatan dan usahanya maka dinamakan ‘Haal’. Jika kekal jadi kelakuannya dinamakan ‘Maqam.’ Bahawa ‘Haal’ itu pemberian dan ‘Maqam’ itu dengan usahanya.

Ath-Thamusu, maksudnya ‘hilang atau hapus sekalian tanda pada sekalian sifat Allah. Iaitulah satu bahagian daripada fana’ dirinya daripada dayaupaya kepada Allah Ta'ala."

Al-Jam'u, maksudnya ‘syuhud akan sekalian perkara dengan Allah Ta'ala." Jam'u al-jam'i, maksudnya ‘memfana'kan dirinya dan segala akuan, tiada yang ada melainkan Allah, iaitu yang dinamakan ‘Martabat Ahadiyah’.

Al-Gharaq al-Awwal, maksudnya ‘hal si Salik melihat makhluk adalah terdinding dari al-Haq, tiadalah dia melihat melainkan makhluk jua." Al-Gharaq ats-Tsani, maksudnya "hal orang yang ‘Muntahi’, iaitu melihat makhluk berdiri dengan ‘Haq’ dan dia melihat ‘Wahdah fi al-katsrah’ dan dia melihat pula akan ‘katsraf fi al-Wahdah’ tiada mendinding salah satu dengan yang lainnya".

Demikianlah sedikit petikan sebagai contoh takrif istilah tasawuf dalam ‘Manhal ash-Shafi’ karya Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani.

No comments:

Post a Comment